Umat Islam Pernah Menghadapi Kesukaran yang Sama Dahulu Penindasan_umat_Islam

Sepanjang buku ini kita telah melihat banyak penerangan-penerangan terperinci tentang penderitaan yang berlaku di negara-negara Islam, termasuk pengeboman hospital bersalin di Chechnya, pembunuhan kejam ke atas wanita hamil di Bosnia, dan pembunuhan ke atas kanak-kanak kecil yang dilakukan oleh askar-askar Israel di Palestin. Namun harus diingat bahawa contoh yang serupa malah lebih teruk lagi pernah dirasai oleh masyarakat Islam di zaman dahulu. Para pemerintah ateis atau pun pemimpin terkenal dari pelbagai bangsa telah mendera utusan-utusan yang dihantar kepada mereka dan juga masyarakat yang beriman. Mereka telah mengusir rakyat yang tidak bersenjata dari tanah air mereka dan terus menindas mereka. Salah satu contoh paling jelas ialah Firaun. Sewaktu Firaun menikmati hidup yang penuh mewah, pemerintah Mesir purba ini telah menyebabkan penderitaan ke atas umat Islam di waktu itu, dengan kata lain ke atas kaum Bani Israel. Allah telah menggambarkan penderitaan kaum Bani Israel di dalam al-Quran:

Dan (ingatlah) ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Firaun) dan para pengikutnya; mereka mengenakan seksaan berat ke atas kamu, mereka menyembelih anak-anak lelakimu dan membiarkan anak-anak perempuanmu hidup. Dan pada yang demikian itu ada ujian-ujian yang besar dari Tuhanmu. (Al-Baqarah, 2:49)

Satu rahsia penting telah diberitahu menerusi ayat ini: Kekejaman Firaun adalah untuk menguji keimanan seseorang. Dengan cara yang sama, Allah mahu menguji umat Islam pada hari ini dengan kekejaman yang sama. Ujian-ujian ini memerlukan usaha umat Islam untuk mendapatkan keredaan Allah di dunia ini dan juga syurga-Nya yang penuh dengan segala nikmat di Hari Akhirat nanti. Kenikmatan yang tidak terbatas di syurga adalah sebagai balasan ke atas orang-orang beriman yang telah hidup di dalam dunia yang sementara ini. Banyak masyarakat Islam yang telah mengalami kepayahan serupa di zaman dahulu, dan ia diuji lagi ke atas umat Islam hari ini. Allah telah menerangkannya seperti berikut:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum lagi datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya dengan orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah, 2:214)

Seperti yang kita dapat lihat menerusi ayat ini, orang-orang beriman akan sentiasa diuji oleh Allah dengan kesusahan dan masalah, namun Allah sentiasa memberikan bantuan. Di samping itu, seperti yang diterangkan oleh ayat tersebut, pertolongan itu pasti datang segera.